Sunday, October 19, 2014

KAMPUNG YANG MENARIK

Bila merantau ke tempat orang, baru kita tahu tempat asal kitalah yang paling menarik.

Mengapa?

Sebab, tempat orang tidak sama dengan tempat kita. Dan cerita kita di tempat orang, tidak sama dengan cerita kita di tempat sendiri.

Kata orang tua-tua, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Juga, 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Juga, 'lain padang, lain belalang'.

Di tempat sendiri, kita membesar dengan memori. Tidak kira memori indah atau pahit, ia memberi nilai kepada siapa kita sekarang.

Dulu, semasa saya kecil, saya membesar di kampung nun jauh di dalam hutan - Felda Padang Piol (ketika itu). Orang susah seperti saya terpaksa naik bas berulang-alik ke Jerantut untuk membeli kelengkapan.

Pernah, banyak kali juga saya menemani ibu ke Bandar Jerantut (pekan) menaiki bas. Untuk naik bas, kami perlu menunggu lebih awal, sekiranya lambat, alamatnya tak pergi Jerantut lah!

Pekerjaan menunggu itu pun sebenarnya mengajar saya banyak perkara. Erti sabar, erti kasih ibu, erti betapa susahnya hidup dan perlu dilalui dengan ketabahan.

Juga, tinggal jauh di hulu juga membentuk diri yang ingin meneroka dunia luar. Semasa darjah enam, Cikgu Saripah pernah berkata, "jika ingin melihat dunia luar, belajarlah bersungguh-sungguh". Kata-katanya ketika itu ibarat ada cahaya-cahaya bersinar di belakangnya penuh semangat kepada saya budak kampung hingusan.

Ya, kata-katanya ada benarnya. Dapat keluar dari kampung adalah rahmat terbesar. Berjauhan dari kampung sebenarnya menguatkan lagi kerinduan untuk balik ke kampung.

Semakin jauh kita merantau, semakin kuat kerinduan itu menarik kita pulang ke kampung.

Sebab itu, jika kita tinggal di kampung kini, merantaulah! Berjauhanlah sebentar dari kampung, kerana dari situ, kita akan tahu betapa kuatnya kampung kita menarik kita untuk pulang!

No comments:

Post a Comment