Wednesday, October 29, 2014

JOM PANJAT DINDING!


Kali ini, Jerantut Blogger ingin membawa anda semua ke satu sudut di bandar Jerantut - The Malay Bazaar.

Di sini, terdapat satu tempat menarik untuk penggemar outdoor yang ekstrem iaitu wall climbing.

Baru-baru ini, Jerantut Blogger melihat beberapa anak muda mememeriahkan dinding wall climbing ini dengan aktiviti panjat-memanjat. Ingatkan sehari sahaja mereka ini menjalankan aktiviti ini, rupa-rupanya tidak, selepas seminggu, Jerantut Blogger lihat mereka masih ada di situ.


Jadi, pada petang tadi, Jerantut Blogger mendekati mereka untuk mengetahui lebih lanjut.

Rupa-rupanya, mereka ini adalah pengendali bertauliah yang dibenarkan oleh Majlis Daerah Jerantut untuk menyediakan perkhidmatan memanjat dinding tersebut.


Kata mereka, objektif menyediakan perkhidmatan memanjat dinding tersebut adalah untuk memupuk minat anak muda dan belia Jerantut untuk meminati sukan ekstrem ini.

Jika anda tidak pernah sekali pun membuat wall climbing, anda juga berpeluang untuk mencuba aktiviti ini.


Mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mencuba sukan yang menguji keberanian ini! Amacam berani?

Jangan risau, aktiviti ini dikendalikan dengan ciri-ciri keselamatan yang penuh. Contohnya, penggunaan harness (abah-abah), tali kernmantel, dan safety line (tali keselamatan tambahan).



Oh ya, bayaran aktiviti ini hanya RM2! Paling murah di pasaran! Lagi gempak, anda boleh membuat 3 kali panjatan hanya dengan bayaran RM2!

Siapa yang boleh naik? Sesiapa sahaja yang berumur 15 tahun ke atas. Kalau berat badan berlebihan pun tak apa, kerana tali kern mantel  tersebut boleh menampung berat 200 kilogram!


Kalau anda berminat, datang saja ke tapak The Malay Bazaar, Bandar Lama Jerantut, jumpa abang Azri, dan cubalah aktiviti ini sekarang!


Sunday, October 19, 2014

KAMPUNG YANG MENARIK

Bila merantau ke tempat orang, baru kita tahu tempat asal kitalah yang paling menarik.

Mengapa?

Sebab, tempat orang tidak sama dengan tempat kita. Dan cerita kita di tempat orang, tidak sama dengan cerita kita di tempat sendiri.

Kata orang tua-tua, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Juga, 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Juga, 'lain padang, lain belalang'.

Di tempat sendiri, kita membesar dengan memori. Tidak kira memori indah atau pahit, ia memberi nilai kepada siapa kita sekarang.

Dulu, semasa saya kecil, saya membesar di kampung nun jauh di dalam hutan - Felda Padang Piol (ketika itu). Orang susah seperti saya terpaksa naik bas berulang-alik ke Jerantut untuk membeli kelengkapan.

Pernah, banyak kali juga saya menemani ibu ke Bandar Jerantut (pekan) menaiki bas. Untuk naik bas, kami perlu menunggu lebih awal, sekiranya lambat, alamatnya tak pergi Jerantut lah!

Pekerjaan menunggu itu pun sebenarnya mengajar saya banyak perkara. Erti sabar, erti kasih ibu, erti betapa susahnya hidup dan perlu dilalui dengan ketabahan.

Juga, tinggal jauh di hulu juga membentuk diri yang ingin meneroka dunia luar. Semasa darjah enam, Cikgu Saripah pernah berkata, "jika ingin melihat dunia luar, belajarlah bersungguh-sungguh". Kata-katanya ketika itu ibarat ada cahaya-cahaya bersinar di belakangnya penuh semangat kepada saya budak kampung hingusan.

Ya, kata-katanya ada benarnya. Dapat keluar dari kampung adalah rahmat terbesar. Berjauhan dari kampung sebenarnya menguatkan lagi kerinduan untuk balik ke kampung.

Semakin jauh kita merantau, semakin kuat kerinduan itu menarik kita pulang ke kampung.

Sebab itu, jika kita tinggal di kampung kini, merantaulah! Berjauhanlah sebentar dari kampung, kerana dari situ, kita akan tahu betapa kuatnya kampung kita menarik kita untuk pulang!