Saturday, November 1, 2014

JERANTUT AKTIF BERSUKAN


Assalamualaikum & selamat pagi!

Kali ini Jerantut Blogger ingin membawa warga Jerantut semua ke satu lagi sisi bandar kita yang sangat menarik untuk dikongsikan bersama.

Tahukah anda, di Jerantut terdapat pelbagai facility sukan yang disediakan untuk kegunaan awam?

Saban hari, kemudahan-kemudahan ini digunakan oleh warga Jerantut untuk beriadah bersama rakan dan keluarga.

Jadi, apa salahnya luangkan sedikit masa anda untuk menyorot satu-persatu beberapa kemudahan sukan yang terdapat di Jerantut.


Antara tempat favourite warga Jerantut untuk beriadah adalah Taman Warisan. Taman yang terletak di belakang Padang FA Jerantut ini menyediakan trek untuk berjoging, stesen latihan kekuatan otot, dan taman permainan kanak-kanak.

Trek sepanjang 100 meter ini sangat sesuai untuk warga Jerantut yang tidak pernah berjoging untuk berjinak-jinak dengan aktiviti ini dengan memulakan larian untuk hari pertama anda hanya sebanyak 5 pusingan.

Stesen-stesen latihan kekuatan otot pula sangat membantu untuk membina komposisi tubuh badan yang baik, antaranya ialah Sit-up, Touch Bar, Pull-up, dan Pumping.

Seterusnya, bagi warga Jerantut yang sudah biasa berjoging, mereka memilih untuk menjadikan jalan Kampung Melayu atau Bukit Istana sebagai trek larian. Tahap kesukaran mendaki dan panorama yang cantik melihat bandar Jerantut dari atas Bukit Istana menjadikan trek ini pilihan ramai.

Trek joging yang sukar ini menjadi pilihan bagi kaum Cina dan Melayu saban petang.



Seterusnya, Padang FA. Di sini seringkali diadakan perlawanan kelab-kelab bola sepak Jerantut.


Di sebelahnya pula, terdapat Padang Hoki. Permainan ini menjadi pilihan belia-belia dari kaum India yang berlatih untuk menyertai kejohanan-kejohanan hoki terbuka.


Gelanggang yang baru dibina di sebelah Padang FA ialah Bola Jaring. Apa lagi? Kaum Hawa silalah gunakan kemudahan ini, jangan dibiarkan kosong sahaja.


Di sebelah Gelanggang Bola Jaring, terdapat Gelanggang Badminton yang terletak di dalam dewan. Kebanyakan warga Jerantut memilih waktu malam untuk bermain.


Di sebelah Dewan Sri Tahan, terdapat Gelanggang Sepak Takraw.


Tidak jauh dari situ pula, terdapat Gelanggang Petanque. Peminat permainan ini boleh pergi ke gelanggang ini yang terletak di Taman I-City 3.


Berdekatannya pula, terdapat lokasi peminat sukan ekstrem - Wall Climbing. Boleh baca artikel tentangnya DI SINI.


Di seberang jalan Padang FA, terdapat Gelanggang Skate-board. Saban petang, terdapat anak-anak muda Melayu dan Cina memeriahkan tapak ini.



Di seberang jalan pula, terdapat Gelanggang Woodball. Anda yang tidak pernah bermain permainan ini boleh datang menonton pada waktu petang dan belajar cara bermain permainan ini.


Bagi kanak-kanak pula, taman di hadapan SK Jerantut dan Taman I-City 1 & 2 menjadi lokasi pilihan mereka. Alat permainan yang banyak dan lanskap yang cantik menjadi daya penarik lokasi ini.

Pada waktu pagi pula, warga Cina menjalankan aktiviti senaman pagi. Kelihatan ramai warga emas dan segelintir masyarakat Melayu menyertai aktiviti bermanfaat ini.

Apa lagi? Jangan biarkan waktu pagi dan petang anda sia-sia! Jom bersukan!

Wednesday, October 29, 2014

JOM PANJAT DINDING!


Kali ini, Jerantut Blogger ingin membawa anda semua ke satu sudut di bandar Jerantut - The Malay Bazaar.

Di sini, terdapat satu tempat menarik untuk penggemar outdoor yang ekstrem iaitu wall climbing.

Baru-baru ini, Jerantut Blogger melihat beberapa anak muda mememeriahkan dinding wall climbing ini dengan aktiviti panjat-memanjat. Ingatkan sehari sahaja mereka ini menjalankan aktiviti ini, rupa-rupanya tidak, selepas seminggu, Jerantut Blogger lihat mereka masih ada di situ.


Jadi, pada petang tadi, Jerantut Blogger mendekati mereka untuk mengetahui lebih lanjut.

Rupa-rupanya, mereka ini adalah pengendali bertauliah yang dibenarkan oleh Majlis Daerah Jerantut untuk menyediakan perkhidmatan memanjat dinding tersebut.


Kata mereka, objektif menyediakan perkhidmatan memanjat dinding tersebut adalah untuk memupuk minat anak muda dan belia Jerantut untuk meminati sukan ekstrem ini.

Jika anda tidak pernah sekali pun membuat wall climbing, anda juga berpeluang untuk mencuba aktiviti ini.


Mereka mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk mencuba sukan yang menguji keberanian ini! Amacam berani?

Jangan risau, aktiviti ini dikendalikan dengan ciri-ciri keselamatan yang penuh. Contohnya, penggunaan harness (abah-abah), tali kernmantel, dan safety line (tali keselamatan tambahan).



Oh ya, bayaran aktiviti ini hanya RM2! Paling murah di pasaran! Lagi gempak, anda boleh membuat 3 kali panjatan hanya dengan bayaran RM2!

Siapa yang boleh naik? Sesiapa sahaja yang berumur 15 tahun ke atas. Kalau berat badan berlebihan pun tak apa, kerana tali kern mantel  tersebut boleh menampung berat 200 kilogram!


Kalau anda berminat, datang saja ke tapak The Malay Bazaar, Bandar Lama Jerantut, jumpa abang Azri, dan cubalah aktiviti ini sekarang!


Sunday, October 19, 2014

KAMPUNG YANG MENARIK

Bila merantau ke tempat orang, baru kita tahu tempat asal kitalah yang paling menarik.

Mengapa?

Sebab, tempat orang tidak sama dengan tempat kita. Dan cerita kita di tempat orang, tidak sama dengan cerita kita di tempat sendiri.

Kata orang tua-tua, 'hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri'. Juga, 'jauh perjalanan, luas pemandangan'. Juga, 'lain padang, lain belalang'.

Di tempat sendiri, kita membesar dengan memori. Tidak kira memori indah atau pahit, ia memberi nilai kepada siapa kita sekarang.

Dulu, semasa saya kecil, saya membesar di kampung nun jauh di dalam hutan - Felda Padang Piol (ketika itu). Orang susah seperti saya terpaksa naik bas berulang-alik ke Jerantut untuk membeli kelengkapan.

Pernah, banyak kali juga saya menemani ibu ke Bandar Jerantut (pekan) menaiki bas. Untuk naik bas, kami perlu menunggu lebih awal, sekiranya lambat, alamatnya tak pergi Jerantut lah!

Pekerjaan menunggu itu pun sebenarnya mengajar saya banyak perkara. Erti sabar, erti kasih ibu, erti betapa susahnya hidup dan perlu dilalui dengan ketabahan.

Juga, tinggal jauh di hulu juga membentuk diri yang ingin meneroka dunia luar. Semasa darjah enam, Cikgu Saripah pernah berkata, "jika ingin melihat dunia luar, belajarlah bersungguh-sungguh". Kata-katanya ketika itu ibarat ada cahaya-cahaya bersinar di belakangnya penuh semangat kepada saya budak kampung hingusan.

Ya, kata-katanya ada benarnya. Dapat keluar dari kampung adalah rahmat terbesar. Berjauhan dari kampung sebenarnya menguatkan lagi kerinduan untuk balik ke kampung.

Semakin jauh kita merantau, semakin kuat kerinduan itu menarik kita pulang ke kampung.

Sebab itu, jika kita tinggal di kampung kini, merantaulah! Berjauhanlah sebentar dari kampung, kerana dari situ, kita akan tahu betapa kuatnya kampung kita menarik kita untuk pulang!